19 October, 2010

seloka pak kaduk

Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

Maksud :
Pak Kaduk ditimpa nasib malang yang bertimpa-timpa akibat sikapnya sendiri. Walaupun ayamnya menang dalam persabungan, tetapi kampungnya tergadai. Nasi yang ada dibuang dan apabila balik, dia kelaparan kerana tiada makanan. Apabila Pak Kaduk mudik, dia menongkah surut. Apabila menghilir pula, dia menongkah air pasang. Maksudnya dia melawan arus. Pak Kaduk membunuh isterinya. Kemudian, dia sendiri hampir mati kerana tiada makanan. Ketika Pak Kaduk hendak belayar, angin berhenti bertiup. Apabila Pak Kaduk melabuhkan sauh (berlabuh), angin pun bertiup semula. Pak Kaduk turut menumpang di rumah orang walaupun dia mempunyai rumah sendiri.

Baca seloka di atas dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

(i)            Nyatakan sikap Pak Kaduk dalam seloka di atas.
        [ 2 markah ]
  • seorang yang bodoh / dungu
  • suka mendengar kata orang
  • berangan-angan terhadap sesuatu yang belum pasti menjadi miliknya
  • seorang yang suka berjudi / bersabung ayam


(ii)           Jelaskan perlakuan-perlakuan negatif yang dilakukan oleh Pak Kaduk.
        [3 markah]

  • suka berjudi / mempertaruhkan kampung halamannya menyebabkan kampungnya tergadai
  • membunuh isterinya
  • suka bertandang ke rumah orang
  • berlayar semasa angin tidak bertiup dan melabuhkan sauh ketika bayu berpuput
  • membuang nasi sedangkan Pak Kaduk kebuluran


(iii)          Pada pendapat anda, apakah persoalan yang diperkatakan dalam seloka di atas?
        [ 4 markah]
  • persoalan menggunakan akal fikiran sebelum melakukan sesuatu tindakan
  • persoalan jangan bertindak zalim sesama manusia
  • persoalan jangan terlalu tamak / gelojoh
  • persoalan jangan bertindak terburu-buru
  • persoalan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan lumrah akan mendatan
  • persoalan jangan terlalu mudah mempercayai orang lain
(i) Nyatakan maksud rangkai kata bayu berpuput?
        [2 markah]

  • Maksud rangkai kata bayu berpuput ialah angin bertiup

(ii) Pada pandangan anda, mengapakah dikatakan Pak Kaduk tidak dapat belayar apabila kematian angin?
        [3 markah]

  • dia seorang yang pemalas lalu tidak mahu atau tidak pandai mendayung sampan dan hanya berharap kepada angin sahaja
  • dia tidak larat mendayung sampannya kerana kekurangan tenaga akibat kelaparan yang dialaminya
  • balasan Tuhan atas perbuatannya yang menzalimi diri, isteri dan orang lain

(i)        Pada pendapat anda, mengapakah perancangan amat penting sebelum kita mengambil sesuatu tindakan?
        [3 markah]

  • kita tidak akan mengalami kesusahan / kesulitan
  • bersedia dengan segala keperluan
  • pekerjaan kita berjalan lancar / teratur / sistematik

(i)            Pada pendapat anda, apakah nasihat-nasihat yang dapat anda berikan supaya Pak Kaduk boleh berubah laku?
        [ 3 markah ]

  • berfikir dahulu sebelum mengambil sesuatu tindakan
  • berhenti daripada berjudi
  • mensyukuri rezeki yang diberi oleh Tuhan
  • mempelajari ilmu pelayaran / ilmu alam / geografi
  • menghargai isteri
  • duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah
  • banyak beramal kepada Tuhan
  • mendalami ilmu dunia dan akhirat


(iii) Jelaskan unsur sindiran yang ingin disampaikan dalam seloka di atas.
        [4 markah]

  • menyindir orang yang suka bertaruh dan berjudi. Pertaruhan melibatkan benda atau wang
terhadap ayam laga akan mengakibatkan diri, keluarga dan masyarakat mendapat susah menyindir orang yang suka menolak rezeki yang ada. Perbuatan mengharapkan sesuatu hasil yang belum tentu dapat diperoleh akhirnya merugikan diri sendiri    
(ii)           Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam seloka ini.
       [ 4 markah ]

  • kita hendaklah mengamalkan ajaran agama iaitu mematuhi larangan berjudi. Pak Kaduk yang suka berjudi telah kehilangan segala-galanya termasuk kampung halaman, rumah dan isteri
  • kita hendaklah rasional dalam sebarang tindakan yang diambil. Tindakan Pak Kaduk yang marah akan isteri lalu membunuhnya amatlah tidak dapat diterima akal
  • kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan. Tindakan Pak Kaduk yang membuang nasi merupakan suatu pembaziran dan kufur akan nikmat Tuhan.
  • Kita hendaklah mempelajari ilmu dalam sesuatu bidang yang kita ceburi. Pak Kaduk yang jahil dalam bidang pelayaran telah menyusahkan diri sendiri

di jari oleh zya